Ahad, 6 Oktober 2013

IBU, ANAK TERPISAH 50 TAHUN.(WARGA EMAS MOBOK)



Jendon Aseh (Yunaida Kaseh).

KOTA – “Mak cik dah tua sementara hidup ini jika boleh mak cik mahu berjumpa dengan anak hasil perkahwinan kedua mak cik dengan suami bernama Husin Label yang namanya semasa kecil ialah Rosnah Husin,” luah warga emas, Jendon Aseh atau lebih dikenali sebagai Yunaida Kaseh, 77, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batang Merbok, Semerbok, di sini.

Difahamkan, Rosnah  yang terpisah dengannya sejak 50 tahun lalu merupakan anak kedua yang dilahirkan kembar, namun seorang lagi kembarnya sudah meninggal dunia sejak dari kecil lagi.

Bagaimanapun Yunaida berkata, Rosnah diserahkan kepada keluarga adik iparnya yang hanya dikenali sebagai Ara Md Ali dan suami adik iparnya yang dikenali sebagai Razak.

Menurutnya, sepanjang hidupnya, dia sudah bernikah sebanyak enam kali yang mana hanya perkongsian hidup dengan suami pertama, kedua dan keenam sahaja dia mempunyai anak dan kini sudah hampir 40 tahun dia hidup menjanda.

“Anak dengan suami pertama kini sudah berusia 60an dan menetap di Pulau Pinang.  Sebelum ini, selama dua tahun mak cik tinggal dengannya susulan mak cik sakit gout.

“Manakala, anak dengan suami keenam pula tinggal di Melaka dan kini berusia 44 tahun.  Bagaimanapun, mak cik teringin bertemu Rosnah dan berharap dapat menumpang kasihnya,” katanya.




Jalan masuk ke Kampong Batang Mobok.

Yunaida berkata, seawal usia 15 tahun dia sudah dikahwinkan oleh bapanya.

“Namun, perkahwinan saya itu tidak bertahan lama dan saya berkahwin buat kali kedua dengan Husin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang di Singapura serta dikurniakan kira-kira 10 anak.

“Namun, entah di mana silapnya, kesemua anak yang dijaga saya meninggal dunia semasa di usia kecil. Namun, tiga anak yang saya serahkan kepada orang lain hidup dan kali terakhir saya mendapat khabar ialah Rosnah menetap di Batu 23, Chin Chin Jasin, Melaka, " katanya.

Menurutnya, sejak penghujung Mei lalu, dia  pulang ke kampung dan tinggal seorang diri di rumah kecil yang disambung bina dengan kediaman yang disewakannya menggunakan duit simpanan.

“Itu sahaja pendapatan mak cik sekarang ini iaitu RM100 sebulan melalui sewa rumah, selebihnya kini mak cik menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), "katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Shah Joned berkata, pada 2006, Yunaida menerima bantuan JKM bagaimanapun dihentikan susulan Yunaida berpindah keluar dari sini.

"Yunaida kemudiannya kembali ke kampung dan kita memohon sekali lagi pihak JKM menyalurkan bantuan kepadanya iaitu pada 2009.

“Bagaimanapun, bantuan itu juga dihentikan setelah Yunaida ke Pulau Pinang.  Kini, dia kembali semula ke kampung dan sudah lebih sebulan lalu kita memohon buat kali ketiga supaya JKM menghulurkan bantuan kepada Yunaida, " katanya.


Sumber : Sinar Harian 24Ogos 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan