Selasa, 22 Julai 2014

TENTANG KEPALA KERBAU.


Abdul Hamid Ahmad.

"Tentang Kepala Kerbau"
Moh doreh kito baco cerito tontang Kepalo Kobau yang diilhamkan melalui pengalaman hidup saudara Abdul Hamid ini yang ditulis pada 3hb.September 2010 jam 11:42pagi. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini serta Aidilfitri yang bakal menjelang tak lama lagi, kisah kenangan dan imbauan dimasa lalu amat mengusik jiwa,terutama bila kenangan bersama Kidam, Pendek Ipek, Juhan Celet, Lesot, Kepala, Pak Teh, Atuk, Enek dan Mahmud terbayang dimata Abdul Hamid. Al-Fatihah kepada mereka semua dan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.



Rumah yang telah membesarkan Abdul Hamid di Semerbok.
( Nun yang diatas bukit)


Encik Abdul Hamid, Acat dan Abang Aziz.
(Masjid Semerbok 2014).

Tentang Kepala Kerbau
September 3, 2010 at 11:42am
[Sempena mengenang mereka yang telah pergi. Walau cuma tengkorak kerbau, maknanya amat tinggi]

Qurbani saban tahun.

“Boghi-an kek Amid, dio pandai” Kata seseorang.

Tak lama kemudian tibalah kepala lembu ke tempatku bekerja. Tanduknya cuma sejengkal. Tak lama tiba sebuah kepala lagi. Lidahnya terjelir, tidak pula bertanduk. Aku tahu kedua-duanya kurus walaupun hanya kepala yang sampai. Memang begitulah. Hampir semua lembu korban sememangnya kurus dan donceng. Nak berkorban pun alang kepalang, cuih! Tak mengapalah. Bukan itu yang hendak aku ceritakan di sini.

Ramadhan 1974-1978

Aku ikut saja. Atuk pakai seluar buntil dan kasut roba. Kepalanya diikat dengan kain sebai. Baju peratnya tak berapa putih lagi, berlubang-lubang pula sampai nampak kulit belakang Atuk. Kulit Atuk tidak hitam, cerah juga, macam kulit Omak. Aku tidak berselipar, cuma kaki ayam. Kakiku kembang dan tapaknya keras kematu. Seluar pendek tak usahlah dikira sangat, memanglah kopam. Baju batik yang dibeli Anyah itulah juga yang kupakai. Butangnya tidak cukup.


Simpang Kodai Toyot 2014.

Sesampai di pangkal pokok bacang di Simpang Kedai Toyot, orang sudah ramai berkerumun. Aku mencelah-celah saja untuk kehadapan. Semua orang berdiri, tak ada yang duduk kerana memang tak ada tempat duduk. Di atas daun pisang dan daun kelapa yang diatur di atas rumput sudah ada beberapa tompok daging. Tengoklah. Kadang-kadang sepuluh, kadang-kadang lebih. Ini musim orang mantai. Tak lama lagi hari raya. Orang berkongsi membeli kerbau dan kemudian disembelihlah. Daging dibahagi sama rata mengikut banyak mana orang yang berkongsi itu. Semuanya dibahagikan, daging, ghabu, jantung, limpa, tulang rusuk, tulang belakang, daging batang pinang, hati...tak ada yang tidak merasa. Ini namanya mantai “sel”.

Memang begitu hukumnya, tunjang dan kepala akan dilelong. Isi perut, perut panjang, perut masam, perut kitab, perut besar, temonsu akan menjadi hadiah kepada para pekerja. Janganlah tak faham, tunjang bererti tulang kaki kerbau yang sudah diambil dagingnya. Masih adalah sedikit-sebanyak daging melekat di sana-sini. Kalau tulang kaki hadapan, ia bermula daripada tulang belikat sehingga ke kuku. Kalau tulang kaki belakang ia bermula daripada tulang peha sehingga ke kuku. Ia diangkat satu-satu untuk dilelong. Bukanlah mahal sangat, paling-paling akan dibida sehingga lapan ringgit sebelum diambil oleh pembeli itu.

Yang terakhir adalah kepala kerbau.



Kerbau di Semerbok.

“Kopalo, tuan-tuan!!! Kopalo, iyo...!” Kata Kepala.
“Kopalo Limobleh inggit... cepo ngaku?” Tanya Kepala pula.
“Lapan boleh!” Kata Kidam.
“Lapan boleh, Kidam... ando nang lain? Dogheh... bosa leher-e ni!”
“Duo puloh” Balas Pendek Ipek.
“Duo puloh, Pendek Ipek... Baghang elok! Baghang elok...!”

Atuk tersengeh saja. Sekejap-sekejap aku tengok ke arah Kepala. Sekali-sekala aku melihat ke atas, tengok Atuk. Atuk senyum saja. Butil locengnya tergantung di dagu. Aku selalu picit-picit butil itu kalau berpangku-kepala di peha Atuk.

“Duo puloh tigo inggit, bak senia, hah!” Kata Kidam melawan.
“Ittu diaa, duo puloh tigo inggit keteh Kidam kito. Kok nok’ondak tukoklah!”
“Duo puloh limolah, boghi ‘pek den!” Kata Lesot. Dia sama-sama dalam pasukan Kepala, tangannya masih melekat darah kering. Tersengeh-sengeh saja dia membida. Kepala macam tak tahan ketawa.

“Lesot potong jalan! Duo puloh limo keteh... Iyo botul ko ni, Sot? Tanya Kepala geli hati.
“Iyo! Biadeh den concang balik kang” Kata Lesot tersenyum.
“Duo puloh limo!”
...........
“Duo puloh limo, satu kali!” Kata Kepala. Lesot buat-buat sibuk membuang daun kelapa pula.
...........
“Duo puloh limo, dua kali......” Lesot sudah berdiri saja di situ. Nak buang daun kelapa, sudah habis pula dihumbankannya ke tepi semak.

“Duo puloh onamlah!” Kata Pendek Ipek. Dia memang mahu, sekaligus Lesot terselamat.
Kidam sudah balik. Dia juga masuk “sel” apalah sangat, sudah cukup kalau tak beli kepalapun.

“Duo puloh onam, Pendek Ipek. Untung, tuan-tuan...daging padat”
............................
“Duo puloh onam, satu kali.....”
..........................................
“Duo puloh onam, dua kali......”
.............................................................
“Duo puloh lapan!” Kata Atuk, tiba-tiba bersuara.

Ia berakhir di situ. Dua puluh lapan ringgit. Tak banyak beza setahun ke setahun. Ada yang cuma dua puluh lima ringgit – kepala kerbau yang agak kecillah. Ada yang sampai tiga puluh ringgit – kepala kerbau jantan besar, kadang-kadang sudah mula melunggah orang.

Maka kepala kerbau yang besar itu dipikullah. Kerbau jantan, Juhan Celet yang punya. Selalu aku nampak bapak kerbau itu di estet kelapa bali petang-petang ketika menjemput kerbau kami. Besarnya tak usah cerita lagi. Lehernya berkelasa. Tanduknya berkotak. Dah dekat enam tahun umurnya. Kata Atuk, Juhan dah banyak dapat hasil anak bapak kerbau itu. Manalah aku tahu.

Sampai di rumah kami semua berkerumunlah dikeliling kepala kerbau itu. Atuk letakkan di atas lantai saja, dialas dengan karung gula. Darahnya sudah beku. Nampak macam lengkong saja. Kadang-kadang aku ambil lengkong itu dan aku potong-potong dengan pisau, tapi lembik saja, tak sehebat lengkong merah yang dibuat Akak menjelang hari raya.

Atuk datang semula dengan parang. Ada parang dobok, ada parang tapik. Kapak tangkai kontotpun ada juga. Disuruh aku ambil pisau yang terselit di celah atap dapur. Atuk akan mula mengelokaikan kepala kerbau. Kami duduk saja. Mahmud kadang-kadang telanjang di situ, putulnya kadang ditarik-tarik pula. Safwan masih kecil benar. Ani dan Anip manusia moden, tak payah ceritalah.

Mula-mula Atuk gunakan pisau. Tajam, matanya lekit. Potongan pertama adalah di belakang hidung kerbau, keliling muncung itu. Kemudian keliling dua tanduk, potongan lalu di atas telinga di celah pangkal tanduk, keliling sehingga bertemu semula dengan potongan asal. Lepas itu kepala kerbau diterbalikkan pula. Atuk potong kulit bermula di bawah dagu sehingga ke bahagian leher yang sudah dipotong itu. Cepat-cepat pula dikulitkan. Nampaklah matanya, nampaklah pangkal telinganya, semua dipotong. Akhirnya kulit kepala yang tinggal hanyalah yang ada pada tempat tanduk tumbuh di puncak kepala kerbau. Matanya tersumbul macam merenung aku yang duduk menebeng dekat Atuk. Putih sahaja kepala kerbau itu.

Kemudian Atuk mula melapah daging yang ada di kepala itu. Paling senang adalah menanggalkan batang leher yang masih tertinggal itu. Dengan beberapa kali ghoset dengan mata parang tapik di pangkal kepala kerbau, batang leher sudah terpisah. Daging pejal memang masih banyak, tak kurang sepuluh kati di situ. Kemudian dilapah pula daging yang ada di pipi kerbau. Ditambah lagi dengan daging yang ada di tulang rahang dan di bawah telinga. Gigi kerbau sudah kelihatan barisnya. Kesan hitam nampak di pangkal gigi kerbau. Sememangnya kerbau tidak gosok gigi.

Kemudian Atuk mula memotong di sebelah bawah rahang. Antara dua tulang rahang itu kosong sahaja. Mata parang tapik ditusuk dan menghiris sehingga ke pangkal kepala. Akhirnya, lidah kerbau pula keluar, bersambung dengan sebuku besar daging yang sememangnya ada di pangkal lidah itu. Lidah itu diletakkan di dalam dulang. Aku pegang-pegang lidah itu. Taklah sekasar lidah lembu.

Kemudian sebelah hujung rahang kerbau itu dipotong dengan parang dobok, dan terpisahlah dagu kerbau, giginya dua di  sebelah rahang kanan, dua di sebelah rahang kiri. Dengan tangan Atuk yang memang kuat itu, tulang rahang itu dikupak-kan ke bawah dan dipiuh ke luar sehingga tercabut. Kemudian dipiuh sebelah lagi. Nampaklah langit-langit kerbau yang warnanya kelabu gelap. Baru aku tahu,yang namanya kerbau ini gigi kacip sebelah rahang atasnya tak ada. Hanya gusi! Aku ingat-ingat lupa pula, padahal selalu juga kerbau jantan menunjukkan gusinya yang tak bergigi itu, terutama sebaik menghidu dan merasa kencing kerbau betina. Entahlah!

Atuk memegang kapak.
“Hah, jauh, wok, jauh...” Kata Atuk kepada kami. Kamipun mengensot jauh sedikit. Sedikit sajalah.

Dan Atuk pun mula mengapak tengkorak kerbau itu. Lopak-lopuk. Mata kapak Atuk kadang-kadang terbenam ke dalam tulang tengkorak, kadang-kadang melantun. Atuk gunakan sudut mata kapak, bukan macam mengapak kayu api. Atuk ikut sahaja kesan potongan kulit yang masih tinggal itu. Sehinggalah sekeliling bahagian itu sudah dikapak semuanya. Kemudian perlahan-lahan Atuk berdiri. Agaknya pinggang Atuk sakit dan hampir kejang kerana sudah lama dia duduk di situ. Atuk pegang kedua-dua tanduk kerbau sambil tersenyum memandang kepada kami. Macam Atuk memegang hendal basikal tua ketika akan motong getah pula. Sekonyong-konyong Atuk mengangkat tengkorak kerbau dan menghempaskan bahagian gusi atas tengkorak kerbau itu ke lantai. Dengan sekali hentak, bahagian tanduk yang Atuk pegang berserta dengan tulang tengkorak yang ada di situ pecah dan tertanggal. Tinggal Atuk memotong sedikit gelemer-gelemer yang masih melekat pada tulang-tulang itu. Apabila dipisahkan, nampaklah oleh kami otak kerbau, terbungkus di bawah kulit yang berwarna putih. Kami pergi dekat-dekat mahu melihat rupanya otak kerbau. Sempat juga kami colek-colek kulit otak kerbau itu sebelum Atuk menyuruh kami berkuak semula.

Atuk duduk semula. Diambilnya pisau lalu ditetas sedikit kulit yang membalut otak kerbau itu. Barulah nampak. Rupa-rupanya otak kerbau ini berketul-ketul dan berselirat, terbelah dua pula. Sebuku di sebelah kiri dan sebuku lagi di sebelah kanan. Warnanya putih kelabu. Ada juga urat-urat darah halus.

Atuk meletakkan jari telunjuknya pada lubang dipangkal tengkorak lalu memutar-mutar jarinya di sekeliling lubang itu. Perlahan-lahan Atuk mengangkat pula dua ketul otak yang ada pada kawah tengkorak yang kini sudah ternganga itu. Sebentar kemudian otak kerbaupun dikeluarkanlah, dan Atuk letakkan otak itu di atas tapak tangannya. Kamipun berkerumun lagi, mahu tengok dekat-dekat sehingga hampir terhidu hanyirnya kerana hidung Mahmud sudah hampir-hampir menyentuh otak kerbau yang bergerinjing bergegar di atas tapak tangan Atuk.

Setelah kami puas menengok rupa bentuk otak kerbau jantan hak punya Johan Celet itu, Atuk meletakkan otak itu ke dalam pinggan yang baru saja diletakkan oleh Enek di situ.

Atuk kemudian mengapak pula barisan gigi geraham yang ada pada rahang atas tengkorak kerbau. Sampai berpercikan api apabila mata kapak Atuk singgah pada gigi itu. Tulang rahang itu akhirnya sempong juga dan gigi geraham kerbau bertaburan di atas karung gula. Kemudian muncung tengkorak itu dibelah dua. Rupa-rupanya di bahagian dalam muncung kerbau ini kosong saja, cuma ada beberapa lapis tulang rawan yang merah warnanya. Semua tulang yang sudah dibuang giginya itu dimasukkan ke dalam periuk ayan yang besar – mahu buat sup, kata Atuk.

Maka selesailah kerja mengelokaikan kepala kerbau. Kepala kerbau dan kepala lembu sememang menjadi mainanku selepas itu. Baik kepala kerbau mantai yang kena lelong, baik kepala lembu yang disembelih ketika nikah Jenal anak Pak Teh, baik kepala lembu abah yang disembelih ketika nikah adik-beradik sendiri. Cuma ketika aku bernikah sahaja aku tidak mengerjakan kepala lembu. Faham-faham sahajalah, aku sibuk sedikit.

Kidam, Pendek Ipek, Juhan Celet, Lesot, Kepala, Pak Teh, Atuk, Enek dan Mahmud – semuanya sudah pergi mengadap Allah Taala. Hati sayu dan sendu mengenang mereka yang kini sudah bersama-sama dan semakin ramai menungguku di Alam Barzakh. Ya Allah, jangan engkau putuskan hubungan kami melalui amalan baik yang kami niatkan untuk mereka. Untuk sekian kali pula, apabila aku terkenang kepada mereka, aku diberitahu bahawa mati itu benar dan akhirat itu juga benar. Aku bersyukur kerana Engkau memberikan kepada kami dua hari raya, terpendek akal kami, sampai juga ingatan kami kepada mereka di Hari Raya. Alhamdulillah.

Manila-Kuala Lumpur-Kota Kinabalu
24 Ramadhan 1431H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan