Selasa, 14 Julai 2015

MANTAI


Mantai ialah amalan menyembelih kerbau atau lembu serta bergotong-royong membakar lemang serta memasak rendang sehari sebelum ketibaan Ramadan atau pun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sejak lama dulu. Atau Mantai dalam dialek masyarakat Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. Ia tentang hari atau malam menyediakan daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan atau pun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pada tahun ini mantai jatuh pada hari Selasa 14hb.Julai 2015.

Apa kata anak Semerbok ini tentang Mantai di Semerbok.....


Abdul Hamid Ahmad.

MANTAI

Jika pernah hidup di desa ketika "mantai" dibuat sendiri oleh anak-anak buah kampung, tentulah istilah mantai ini begitu mengusik. Begitu nostalgik. Mantai ada di kampung-kampung pada akhir tahun 70an dan membawa ke pertengahan tahun 80an. Kemudian hilang. Tak ada lagi mantai di kampung.Yang ada ialah gerai orang jual daging.Dapat juga membeli daging untuk dibuat rendang. Mahu dijodohkan dengan lemang nanti di malam raya. Rasanya memang sedap juga, tak ada yang kurang.

Yang tak ada ialah sawah berjonjang-jonjang bertanam padi. Kandang kerbau yang sarat dan ada asap setiap senja. Salang rumput yang dipikul atau disangkut pada gad basikal besar. Yang sudah pergi ialah tukang-tukang tindik kerbau yang alim menusuk kelikir tembaga di hidung kerbau jantan dan betina. Niyang Usin Uban paling handal. Oleh kerana sudah tak ada semua ini, maka tak ada lagilah kerbau. Kalau ada pun, sudah liar. Mahu dicokau mesti disiapkan kandang halau dan pasung. Jika tidak, memang hendakkan senapang.

Agaknya, harus dihidupkan semula tradisi berkerbau ini....


Foto hiasan Kampong Semerbok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan